Wira datang mengirim pesan yang lebih mendalam bahawa ada keinginan yang belum tercapai, ada pelbagai harapan yang sudah ternodai.
Jika tidak melalui panggilan telefon, pesanan dan pertanyaan baik daripada orang yang dikenali dan tidak dikenali juga diterimanya di laman Facebook. Ramai daripada mereka belum tentu membawa hajat yang jelas. Dalam deretan panggilan dan timbunan mesej itu, ada yang sekadar menyampaikan khabar diri sendiri. Tidak sedikit yang membantu untuk bercerita nasib kurang baik orang lain di sekeliling mereka.
Di laman sosial seperti Facebook, Instagram, dan Twitter, perhubungan menjadi lebih mudah dan pantas. Di tempat yang waktu seakan-akan tiada lagi itu, orang berkeluh-kesah, cuba mencuri telinga, mencari bahu, dan berkongsi berita. Sepertimana kita, ruang itulah yang digunakan oleh Ebit Lew — sosok yang sejak akhir-akhir ini menjadi buah mulut orang di mana-mana — untuk mendengar dan turut bersimpati.
Namun, lelaki yang sentiasa bersama kopiah putihnya itu bukan sekadar personaliti media sosial. Dia tidak terpesona dengan rasa asyik memiliki jutaan peminat hanya dengan memperagakan pakaian-pakaian berjenama mewah. Lew, sebaliknya, menitiskan keringat di jalan dan di ceruk kampung, menyantuni mereka yang masih merangkak untuk hidup. Dalam kesempitan hidup pada waktu wabak, dia hadir sebagai wira.
Kendatipun begitu, kisah “perwira” seperti kisah Lew bukan terlalu asing buat kita. Tidak lama dahulu, kita mengenal dan mengagumi Syed Azmi, seorang jurufarmasi yang memilih untuk keluar daripada keselesaan dan berbakti kepada kelompok masyarakat terpinggir. Begitu juga dengan Kuan Chee Heng, atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Cik Kentang. Seperti yang lain, Kuan senang bersimpati dengan nasib masyarakatnya. Dia membelanjakan sebahagian hartanya kemudian diraikan sebagai seorang wira oleh penduduk setempat.
Kita takjub mendengarkan kisah watak-watak perwira sebegini sama seperti orang Inggeris melihat legenda Robin Hood atau orang di sempadan Kedah-Siam pada awal abad ke-20 mengagumi Panglima Nayan. Sudah tentu bahawa cerita dan pengalaman watak-watak perwira ini berbeza antara satu sama lain. Namun, kita tidak memaknai wira sebagai dongeng atau sekadar watak penghibur seperti lelaki dan perempuan perkasa yang kita tonton di dalam filem.
Dalam kehidupan peribadi ataupun bermasyarakat, wira datang mengirim pesan yang lebih mendalam bahawa ada keinginan yang belum tercapai, ada pelbagai harapan yang sudah ternodai.
Lompang dalam Politik
Sedari awal, ketika manusia mula membangun peradaban, kita membangun bersama kisah-kisah keperwiraan. Baik ketika berkeliling menghadap unggun api di dalam gua sehinggalah di kamar sebelum tidur, kita mendengar dan diperdengarkan tentang kisah-kisah sang perkasa yang membela nasib orang teraniaya. Tetapi apakah tujuan dan erti keterpesonaan kita dengan kisah-kisah wira ini?
Mungkin ada yang sekadar mengambilnya sebagai hiburan. Ada yang meneladani. Namun wira juga dilahir, ditulis, dan kemudian diceritakan untuk mengubati jiwa. Lew, sepertimana wira-wira masyarakat lain yang kita kenal, hadir untuk mengisi keperluan ini. Sosok seperti dia menyembuh luka-luka yang datang daripada rasa takut dan putus asa masyarakat. Dalam setiap kepayahan, kita merasa bersama.
Namun Lew, orang yang meyakinkan kita bahawa harapan tidak pernah mati ini, bukan watak asing. Dia bukan ahli politik yang dipilih setiap empat atau lima tahun sekali, tetapi lahir dalam kalangan kita. Seperti warganegara yang lain, Lew tidak menggenggam tanggungjawab rasmi politik.
Lalu, luka-luka apa yang mahu disembuhkan Lew? Dari sisi lain, dia dan watak-watak wira yang dianggap datang dalam kalangan kita ini menjadi bukti bahawa ada kelompangan dalam politik atau cara kita menguruskan masyarakat. Rasa resah dan putus asa kita bermuara di sini.
Kemarahan dan kekecewaan terhadap para elit politik dan keresahan terhadap perubahan-perubahan sosial yang berlaku secara mendadak inilah yang terjadi di pelbagai belahan dunia. Seringkali, keputusasaan berakhir dengan pergolakan, malah menggugat norma dan institusi yang sedia ada.
Masyarakat menuding jari terhadap para wakil mereka ketika politik menjadi hanya sekadar ranah perebutan kuasa dan mula memundurkan. Watak-watak “anti-wira” kemudian muncul apabila politik kita sudah kering dengan watak-watak wira, dan kita kemudian beralih kesetiaan.
Lew ialah watak yang tidak terelakkan dalam politik yang gagal memberikan kepastian. Dia hadir dengan menawarkan keinginan dan kerinduan masyarakat terhadap rasa kasih dan prihatin yang tidak diperoleh daripada para wakil yang mereka pertanggungjawabkan.
Watak-watak sebegini menyedarkan kita bahawa adanya kelemahan dalam cara kita memastikan bahawa peluang pendidikan yang baik sampai kepada segenap lapisan masyarakat. Lew membongkar kegagalan politik kita dalam membahagikan kekayaan dan membanteras kemiskinan. Ia menyerlahkan bahawa pada waktu kemelut, ketika ada yang masih kelaparan, birokrasi seharusnya lebih mempercepatkan bantuan dan perkhidmatan, bukan lebih memperlahankan.
Politik Sosok dan Demokrasi
Sejauh kita mendambakan dan menyanjung watak-watak wira dalam kehidupan, kita juga bertembung dengan ironi. Dalam politik yang mengharuskan setiap warganegara berupaya menentukan nasib sendiri, kita sebaliknya terus mencari-cari sosok yang boleh disandarkan tanggungjawab secara sepenuhnya. Kita mengharapkan watak-watak seperti Lew ada pada wakil-wakil politik yang kita pilih.
Namun, apa yang diperlukan oleh demokrasi untuk berjalan dengan baik adalah bukan sosok wira, tetapi warga yang bebas, berdikari dan aktif menuntut hak-hak mereka. Kekuatan demokrasi tidak terletak kepada individu-individu tertentu, tetapi kepada masyarakat, struktur-struktur politik yang kukuh, dan penghormatan terhadap institusi-institusi negara.
Tadbir urus yang baik tidak memerlukan wira. Yang diperlukan adalah perubahan-perubahan institusi yang bermatlamat untuk menambah baik kemampuan pemerintah dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti.
Maka, menggandingkan Ebit Lew dengan para wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya untuk menguruskan hal ehwal kemasyarakatan sudah tentu tidak adil. Kita tahu bahawa seseorang wakil rakyat menggalas peranan yang jauh berbeza. Tanggungjawab hakiki wakil rakyat adalah untuk menggubal dasar baik pada peringkat negeri mahupun negara. Mengharapkan wakil-wakil ini untuk sentiasa turun menjenguk longkang yang tersumbat di belakang rumah kita misalnya adalah tindakan yang tidak kena.
Budaya mendambakan seorang watak perkasa —orang yang akan sentiasa hadir untuk menyelesaikan kesulitan-kesulitan sekalipun yang bersifat peribadi — sudah berakar sejak lama. Malah, tidak memeranjatkan bahawa tidak sedikit daripada wakil-wakil politik yang senang dengan sanjungan sebegini.
Namun, pada titik ini hubungan politik yang seharusnya bersifat formal menjadi tidak formal. Kata “tanggungjawab” mula digantikan dengan “tolong”. “Berkhidmat” kemudian difahami dalam erti kata memberi “kebajikan”. Pengurusan hal ehwal negara dan masyarakat diandaikan seperti mengurus sebuah keluarga. Pemerintah dianggap sebagai “penjaga” atau “abah” yang wajib untuk memastikan kebajikan “anak-anak” terjaga. Setidak-tidaknya itu yang sedang terpapar dalam politik negara ini.
Sudah tentu bahawa hal ini berpenghujung pada kekuasaan. Namun, jika tidak dibendung, kita hanya akan terus melahirkan masyarakat yang pasif dan berserah. Maka, watak wira seperti Lew penting selagi ia mampu untuk menjadikan kita sentiasa awas.
Comments