top of page
Izzuddin Ramli

Wabak, Kesepian, dan Tanya

Bagaimanakah kita merawat kesunyian dan memenuhi keperluan untuk tetap terus meneroka di kala terkurung?

Tidak semua dan tidak selalunya orang senang dengan kesepian. Hidup terasing, terpisah, malah sekian lama tidak bersentuhan (atau bersalaman dan berpelukan) dengan orang lain kadangkala mencemaskan. Sebab itu, sebagai makhluk sosial, kita terus-menerus mencari jalan untuk berhubungan bagi memecah kesunyian dan untuk sentiasa merasa ada. Kesepian, seperti yang terpapar setiap hari, mampu membunuh biarpun ramai menemui ketenangan, ilham, atau kesucian dalam kesendirian.


Pada waktu wabak, kesepian ternyata semakin memperkuatkan kedua-duanya. Malah, kesepian seakan-akan bukan sesuatu yang boleh dipilih-pilih, tetapi dihadapi dengan wajah yang bengis dan menanti untuk dilawan. Ketika sempadan-sempadan dikunci, pergerakan menjadi terbatas, dan dunia kita hanyalah ruang terpencil di rumah, kesepian mengintai-intai seperti seekor serigala yang menunggu untuk menerkam mangsanya.


Jalur lebar dan media sosial sudah tentu membantu kita untuk terus berhubung dan mendapat perkhabaran tentang hal yang terjadi di sekeliling. Di situ, cerita dan berita tidak putus-putus datang untuk menghiburkan atau menimbus kesunyian. Namun, ironinya, kita juga tahu bahawa ruang-ruang maya tempat orang berkeluh-kesah itu turut sama memperkuat kesepian. Kita terjunam ke dalam telaga tanpa dasar, melewati rantaian pekikan yang tidak habis-habis menagih perhatian.


Lalu, bagaimanakah kita merawat kesunyian dan memenuhi keperluan untuk tetap terus meneroka di kala terkurung? Sudah pastinya, jalan tidak hanya satu. Setiap orang memiliki cara atau sumber kekuatan tersendiri untuk tetap bertahan. Ada yang gemar bersendirian menjejak denai-denai di hutan atau menapak ke pantai. Ada orang yang lebih suka bersama buku, menonton filem-filem di Netflix, atau berbaring melayani muzik. Saya mencuba kesemuanya—terpulang kepada gerak hati.


Dengan melakukan hal-hal sedemikian—mengulang atau menyambung baca buku-buku yang bertindan di atas meja, menghabiskan deretan filem yang selalunya saya tonton separuh jalan, atau memutar-mutar piring hitam setiap kali selepas makan malam—saya tahu bahawa sekurang-kurangnya saya memacak perhatian terhadap sesuatu. Kesepian hilang ketika dendangan lagu atau hidangan cerita pada helaian-helaian buku menggerakkan sepenuhnya fikiran dan tubuh.


Daripada sumber-sumber tersebut kita dibawa meneroka, singgah di wilayah-wilayah yang tidak pernah atau tidak mampu kita capai dengan tubuh. Kita berkenalan dengan segala khayalan yang dihadirkan melaluinya oleh orang lain. Namun, sekuat mana asyiknya “pembacaan”—baik melalui lidah, mata, ataupun telinga, sudah tentu tidak memadai jika ianya sekadar dilakukan untuk mengalih perhatian atau menjadi suatu pelarian. Alih-alih, kesepian kembali menjengah setelah kita puas dan kehausan.


Maka, jauh dari tujuan untuk mengalih perhatian atau melarikan diri, kesunyian dipecahkan dan pengembaraan bermula dengan pertanyaan; dengan rasa ingin tahu; dengan kegelisahan yang membuak-buak di dalam diri terhadap rasa tidak tahu tentang banyak hal. Hidup berlamaan dengan keresahan sememangnya tidak menyenangkan. Tetapi, seperti setiap langkah yang kita ambil ketika berjalan, pertanyaan adalah titik mula yang membawa kita meredah jalan-jalan dan pintu-pintu lain yang tidak pernah kita temui.


Begitu hidup menyepi baik secara jasad mahupun maya pada waktu wabak. Ia mengajarkan, atau paling tidak, mengingatkan saya untuk menjadi seperti seorang anak kecil yang dunianya sentiasa penuh dengan pertanyaan. Di mata seorang anak kecil, dunia bukanlah hamparan jawapan-jawapan yang sudah pasti, tetapi maklumat-maklumat yang menuntut untuk dipersoalkan. Bagi kanak-kanak, dunia adalah hal yang tidak pernah selesai dan dengan demikianlah mereka menjadi dewasa.


Sekilas pandang, mungkin tidak ada apa yang pelik atau terlalu istimewa dengan pertanyaan. Tindakan merenung kemudian mengajukan soalan-soalan kadangkala terjadi tanpa disedari atau tidak memerlukan banyak usaha. Hampir setiap hari kita bertanya. Kita bertanya khabar kepada mereka yang dekat, atau bertanya arah jika ke tempat-tempat yang tidak pernah kita kunjungi. Kita bertanya, baik kepada orang, ataupun pada hari ini kepada telefon pintar.


Namun, kita tahu bahawa pertanyaan—sama ada dengan kata kunci apa, bila, di mana, bagaimana, dan siapa—tidak semestinya terbatas kepada hal-hal keseharian seperti itu. Pertanyaan boleh juga diajukan untuk perkara-perkara yang lebih mendalam, tentang realiti atau kenyataan yang sudah mapan misalnya.


Pertanyaan-pertanyaan—biar secetek atau sedalam mana pun ia—mampu menghadapkan kita kepada pelbagai kemungkinan kenyataan dan sudut pandang alam. Malah, melalui pertanyaan yang terus-menerus diajukan kepada diri sendiri atau orang lain, kita akhirnya tahu bahawa kebenaran juga berubah-ubah dan tidak hanya satu.


Malangnya, tidak seperti anak kecil, keghairahan terhadap dunia sekeliling barangkali melemah apabila kita meningkat dewasa atau semakin tua. Pertanyaan-pertanyaan semakin mengecut; cukup sekadar untuk hal-hal mudah seharian; hal-hal yang sifatnya lebih praktikal dan memberi untung segera. Pada titik ini, dunia sudah kehilangan misteri, atau lebih tepatnya kita sudah tidak tertarik untuk memecah segala misteri.


Tambahan lagi, kerja berfikir dan menyoal tidak lagi dianggap sebagai tanggungjawab setiap orang. Sebaliknya, ia secara umum diserahkan kepada negara atau institusi seperti universiti (kalaupun masih berlaku). Mungkin kehidupan hari ini yang menuntut sedemikian. Apatah lagi ketika media sosial semakin menguasai. Di media sosial, kita tetap bertanya. Tetapi, jika tidak semua, sebahagian daripada kita cenderung untuk mencari jawapan mudah atau percaya dengan apa yang sudah dihidangkan.


Di kala wabak, menghamburkan segala macam pertanyaan adalah salah satu jalan yang menghidupkan. Buat saya, ia memberi semangat serta kekuatan apabila dunia sudah menjadi semakin tidak menentu. Jangan-jangan pertanyaan tidak hanya sekadar membawa kita mengembara, tetapi juga menguasai. Masakan tidak, setiap kali ke Facebook—tempat orang melombong data itu—kita pertama-tama diajukan dengan pertanyaan: “What’s on your mind?”

Comments


bottom of page