top of page
Izzuddin Ramli

Perihal Kebudayaan Kebangsaan

“Apakah yang sudah dan akan terus terjadi kepada kerencaman budaya kita apabila negara semakin mengukuhkan kedaulatannya dengan menentukan apa sahaja yang boleh dan yang tidak boleh, atau yang milik kita dan yang bukan milik kita?”

Wayang kulit
Gambar oleh PUSAKA

Budaya tidak pernah tenteram. Dalam sejarah panjang manusia, perkelahian, perdamaian, penolakan, dan penerimaan antara pelbagai kebudayaan senantiasa terjadi. Manusia tanpa putus menentukan dan merunding nilai, kepercayaan, pemikiran, dan makna dalam kehidupan harian. Maka, kerana sifatnya juga yang cair, perubahan-perubahan dalam budaya—baik yang tampak atau tidak—adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Budaya Barat” yang kita kenal pada hari ini misalnya berterima kasih dengan proses penghijrahan manusia khususnya perpindahan masyarakat dari kebudayaan-kebudayaan Eropah. Sejak kejatuhan empayar Rom, negara-negara Eropah yang sedia memiliki kebudayaan tersendiri lahir, dan kadang-kala berseteru antara satu sama lain. Pada hari ini, pengaruh-pengaruh orang Eropah terlihat di mana-mana.


Namun, kenyataan-kenyataan hidup manusia tidak hanya dibentuk oleh politik, tetapi lebih penting melalui hal-hal keseharian—melalui hubungan manusia dengan persekitaran mereka. “Budaya Timur”, biarpun pada awal perkembangannya banyak dipengaruhi oleh penyebaran agama, turut dipengaruhi oleh kegiatan penanaman, khususnya padi. Kita kemudian tahu bahawa dalam masyarakat yang dianggap sebagai “Timur” oleh orang Eropah ini, yang agama dan yang sekular sering bercampur-aduk.


Budaya menjadi liar kerana manusia sentiasa bertegur-sapa, baik secara sopan ataupun kasar. Proses yang berlaku secara berterusan ini menyebabkan pelbagai budaya saling mempengaruhi satu sama lain. Di rantau ini, kita bertembung dengan hakikat sedemikian sejak sekian lama. Orang-orang dari pelbagai kebudayaan bertukar-tukar makanan, muzik, pakaian, bahasa, dan sebagainya jauh sebelum datangnya penjajah seperti Belanda ataupun Inggeris. Jadi, kita mungkin tidak akan menemukan apa pun yang asli dalam mana-mana kebudayaan yang ada.


Sudah tentu bahawa kekacauan budaya ini tidak teruruskan. Interaksi dan perpindahan budaya terjadi di peringkat paling bawah iaitu masyarakat. Maka, kita tertanya-tanya: apakah yang berlaku ketika kekuasaan atau negara mula terlibat dalam kerja menertibkan sesuatu yang sifatnya liar sejak azali? Apakah yang sudah dan akan terus terjadi kepada kerencaman budaya kita apabila negara semakin mengukuhkan kedaulatannya dengan menentukan apa sahaja yang boleh dan yang tidak boleh, atau yang milik kita dan yang bukan milik kita?


Masalah kebudayaan ini biasanya dihadapi oleh negara-negara yang baru merdeka dari penjajahan seperti Malaysia. Bagi pemerintah-pemerintah yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan daripada bekas penjajah, masalah kerencaman budaya perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembangunan dalam aspek-aspek lain boleh dilakukan. Walau bagaimanapun, negara cenderung mengambil jalan mudah dengan memaksakan suatu identiti kebangsaan. Budaya yang pelbagai akhirnya dirangkum di bawah satu payung kebudayaan.


Di negara ini, tuntutan sedemikian terjelma melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang diwujudkan pada tahun 1971. Setelah terjadinya rusuhan kaum pada bulan Mei tahun 1969, usaha untuk mentakrifkan kebudayaan negara dan mengembalikan kerukunan masyarakat dilihat semakin mendesak. Namun bagi DKK, kebudayaan kebangsaan perlu bertunjang kepada “kebudayaan Melayu” dengan tidak menolak kemasukan budaya lain asalkan tidak berlawanan dengan Islam.


Kerja-kerja menyusun-atur kebudayaan di negara ini terus berlangsung dengan kelahiran institusi-institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dan secara tidak langsung “memurnikan” ciri-ciri budaya yang sedia wujud dalam masyarakat. Budaya, baik seni persembahan atau apa pun, perlahan-lahan diambil-alih oleh negara dan bukan sekadar menjadi sumber identiti tetapi juga sebagai alat untuk tujuan dagangan.


Maka di sini kita tahu bahawa dasar, peraturan, atau garis panduan yang diciptakan oleh kekuasaan tidak semestinya menjadi jawapan kepada persoalan kebudayaan kebangsaan. Lebih malang, negara-negara yang teringin menentukan kebudayaan apa yang harus dipakai oleh orang ramai cenderung menjadi autoritarian.


Malah, budaya—dalam hal ini kebudayaan Melayu—yang cuba dipertahankan oleh negara itu sendiri menjadi mangsa. Ketika seni persembahan seperti mak yong dan wayang kulit sudah ditarik naik ke pentas yang ditetapkan oleh negara, yang tertinggal di tangga pentas adalah aspek-aspek yang lebih mendalam seperti psikologi, falsafah, dan pandangan dunianya.


Tampaknya, orang lebih berpegang kuat kepada budaya berbanding negara. Bagi menghadapi persoalan kebudayaan kebangsaan, negara barangkali perlu berdiri di pinggir dan membiarkan pelbagai budaya untuk terus berinteraksi antara satu sama lain. Perkara utama yang perlu sentiasa dipastikan oleh negara adalah ruang-ruang perbincangan, dialog, dan kritik dalam masyarakat terus wujud. Di sini berlakunya proses tawar-menawar.


Wacana-wacana kebudayaan yang terbentuk melalui dialog, forum, kongres dan sebagainya bukan tidak pernah berlaku. Malah, proses-proses pembentukan dan pentakrifan budaya yang lebih organik dalam kalangan masyarakat negara ini sudah berlangsung sejak sebelum negara mula mengambil kedudukan di tengah. Kerja-kerja mengetengahkan, menawar-nawar, dan memindahkan budaya ini sudah sekian lama dilakukan oleh para cendekiawan, seniman, penggiat budaya, penulis, dan penyair.


Seperti kata Clifford Geertz, seorang ahli antropologi Amerika, “manusia adalah haiwan yang bersangkut kepada jaringan makna yang dicipta oleh mereka sendiri”. Setiap daripada kita terikat kepada tanda-tanda yang tujuannya adalah untuk menghasilkan dan mengekalkan makna. Tanda-tanda ini menjadi tunjang bagi pandangan alam kita, menyimpan segala panduan dalam melalui liku-liku hidup.


Maka, menghadirkan pelbagai jenis dasar, garis panduan, dan peraturan baharu terhadap hal ehwal kebudayaan kita tidak semestinya produktif. Sebaliknya, negara perlu lebih bersifat terbuka dan berhenti daripada menjalankan kerja-kerja memoralkan manusia. Itu kerja tuhan.




*Esei ini pertama kali diterbitkan di Suara Nadi, Penang Institute.

Commentaires


bottom of page