top of page
Izzuddin Ramli

Kamera Analog, Gambar Cetak, dan Ingatan

Buat saya, mencipta gambar dengan cara lama tidak hanya memegunkan detik-detik. Kita percaya bahawa hidup tidak selalunya perlu tergesa-gesa.


Tok ki, atuk sebelah ayah, meninggal dunia pada tahun 2010, sewaktu saya masih menuntut di universiti. Berita tentang pemergiannya saya terima dari ibu, lewat malam, ketika saya dan teman-teman sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk sebuah seminar pelajar. Perbualan kami pendek. Ibu hanya ingin menyampaikan berita dan tidak mahu saya bersusah-payah untuk pulang. Jadi, saya tidak tahu sebab pemergian tok ki. Tok—isterinya—dan orang terdekat lebih senang untuk mengatakan bahawa dia pergi kerana sakit tua.


Saya menapak keluar dari pintu belakang balai siswazah—tempat kami bekerja—dan berehat di sebuah bangku. Saya memanggil-manggil segala ingatan saya bersama tok ki. Tidak banyak. Sewaktu membesar, kami jarang bertemu. Dia memburuh di kilang balak untuk hidup di waktu mudanya. Di sela-sela waktu, tok ki belajar bersilat Gayong sehingga dia sendiri akhirnya mengajar orang. Ketika kekudanya sudah goyang, dia menghabiskan sisa-sisa hidup dengan memandu teksi dan mengukir sarung keris. Ingatan saya tentang tok ki adalah ingatan terhadap bunyi-bunyi serunai dan gendang pertunjukan silat yang dia sering anjurkan di laman rumahnya.


Sulit untuk menggali-gali semula ingatan terhadap sesuatu, apalagi kalau ianya berupa serpihan-serpihan yang sudah lama termendap di belakang kepala. Hanya sekeping dan satu-satunya potret tok ki yang tertimbus dalam longgokan fail dalam komputer dapat membantu saya menatap wajahnya dan mencungkil naik sedikit ingatan. Dalam gambar digital yang saya sendiri rakam itu, tok ki yang bertubuh kering, tidak berbaju hanya bersarung petak, sedang duduk di samping meja kopinya. Matanya tajam ke lensa kamera. Potret itu saya cetak pada sekeping kertas gambar dan memasukkannya ke dalam sekeping sampul.

Sewaktu pertama kali pulang untuk menziarahi kubur tok ki, saya selitkannya di celah baju-baju tok yang berlipat di dalam almarinya.


***


Kurang pasti apa yang mengheret saya untuk berbuat demikian. Mencetak gambar digital—dengan mesin pencetak yang saya curi-curi guna di balai siswazah—kemudian menyerahkan kepada tok dengan diam-diam. Alasannya mungkin kerana saya tahu bahawa tok tidak pernah memiliki walaupun sekeping gambar tok ki. Gambar-gambar yang ada di rumahnya hanyalah selembar lukisan pantai yang murah, potret arwah anaknya dalam seragam askar, dan gambar naga pada kalendar koyak yang digantung pada dinding. Saya fikir, tidak ada apa lagi di rumah yang akan terus membuatkan tok atau saya sendiri mengingat dan kenal dengan wajah tok ki, selain daripada potret yang saya cetak itu.


Hakikatnya, waktu dahulu kamera merupakan barang yang mewah. Belum tentu dalam satu kampung ada keluarga yang memiliki kamera, apatah lagi kalau orang kampung yang hidup jauh ke bukit. Hendak ke pekan sahaja berjam-jam perlu berjalan kaki. Jadi, untuk mengabadikan wajah-wajah ahli keluarga, orang kampung kebiasaannya akan ke studio gambar yang letaknya di pekan. Harga jauh lebih murah berbanding mengambil sendiri gambar-gambar tersebut. Di studio, orang boleh bergambar dengan latar belakang buatan yang tentunya lebih cantik dari di rumah.


Kalaupun pernah tok dan tok ki menyentuh kamera, waktu itu ketika anak-anaknya sudah bekerja. Namun, seperti ayah, semuanya hidup berjauhan. Gambar-gambar tok dan tok ki berdua, kalaupun ada, banyak dalam milikan orang lain. Maka tidak pelik kalau tok sering mengingat; tentang salasilahnya; peristiwa-peristiwa penting yang pernah terjadi dalam keluarga; atau wajah-wajah deretan cucunya. Hal yang sama berlaku kepada mok, nenek saya sebelah ibu. Tidak ada yang disimpan dalam laci almari mereka selain daripada cebisan-cebisan gambar keluarga yang berjaya diperoleh dari mana-mana.


Kita sudah tidak mencetak gambar. Tok dan mok tidak seperti orang lain. Mereka tetap tidak mampu untuk turut serta ketika orang sudah mula beralih ke gambar digital pada pertengahan tahun 1990-an. Sewaktu dunia penciptaan gambar semakin cepat bergerak ke depan dengan lahirnya JPEG dan MPEG, mereka berdua terhenti pada titik sejarah tersebut. Kemudian, datangnya telefon bimbit yang dilengkapi kamera, Internet, serta laman-laman sosial pada awal tahun 2000. Studio-studio gambar dengan perlahan-lahan membungkus mesin-mesin pencuci mereka. Gambar tidak lagi boleh dipegang.


***


Barangkali, saya hanya melaksanakan satu langkah akhir yang saya anggap akan melengkapkan proses penciptaan gambar. Gambar tetap perlu menjadi benda nyata dan ia tidak dapat tidak hanya terlahir dari proses penciptaan gambar zaman pra-digital. Akhirnya saya mengulangi apa yang pernah saya dan keluarga lakukan lebih dari tiga dekad dahulu.


Sewaktu saya kecil, ayah pernah memiliki sebuah kamera analog rangefinder Olympus PEN-D yang saiznya sebesar tapak tangan. Kamera itulah yang saya kilik setiap kali kami ke mana-mana—kenduri, berkelah, atau menziarahi sanak-saudara. Merakam detik-detik pada lembar negatif yang kemudiannya dibalikkan menjadi positif melalui proses kimia itu merupakan suatu proses yang renyah dan mengambil masa yang banyak. Selalunya, sehari sebelum berencana ke mana-mana, saya dan ayah akan ke pekan terlebih dahulu untuk membeli beberapa pusing filem. Di rumah, kami memasang filem tersebut ke dalam kamera.


Mengendalikan kamera analog menuntut ketelitian. Apa lagi dengan kamera SLR Canon AE-1 Program yang pertama saya miliki beberapa tahun lalu. “KECAKKK!!! KREEEKK!!!”. Bunyinya juga memang bingit. Beratnya bukan kepalang. Barangkali separuh daripada berat batu jongkong biasa. Namun, mengendalikan kamera model tahun 1980-an itu menjadi mudah kalau sudah terbiasa atau memahami sedikit sebanyak sifat cahaya. Malah, kerja mengawal cahaya bertambah senang dengan adanya nombor-nombor di viewfinder.


Namun, kerja merakamkan detik dan ingatan secara azalinya akan berakhir ketika gambar-gambar yang ditangkap siap dicetak dan dimasukkan ke dalam album. Boleh sahaja alasannya bahawa tok tidak memiliki telefon pintar dan mencetak gambar untuknya adalah satu-satunya jalan untuk mengabadikan ingatan. Melalui gambar cetak, ingatan menjadi benda nyata yang kini boleh dipegang, ditatap, malah tidak pelik kalau dihidu. Berbeza dengan proses penciptaan gambar digital melalui telefon pintar.


Dalam merakam gambar, cerita sudah terbangun seawal proses perencanaan. Kerana itu, pada waktu dahulu, gambar benar-benar menjadi alat untuk menandakan peristiwa-peristiwa tertentu dalam hidup. Ia menjadi tempat penyimpanan ingatan. Melalui telefon pintar, mengambil gambar semudah menghalakan lensa dan menekan butang rakam. Jumlahnya juga tidak luak. Namun, gambar-gambar digital selalunya terpendam di dalam telefon atau berakhir di media sosial.


***


Biarpun gambar-gambar yang saya ambil hari ini sudah memenuhi telefon, sesekali saya beralih ke kamera analog. Tujuannya antara lain adalah untuk bertenang-tenang dengan waktu dan lebih peka terhadap sekeliling. Kerana jumlah gambar yang boleh diambil juga tidak banyak, kita menjadi lebih berhati-hati dan berkira-kira.


Tok menemui gambar tok ki yang saya sorok di celah lipatan bajunya. Bagi tok dan mok, gambar-gambar cetak yang kini terus mereka terima dari saya setiap kali pulang ke kampung adalah sebuah penerusan kepada kerja merakam ingatan yang pernah terhenti seketika dalam hidup mereka. Buat saya, mencipta gambar dengan cara lama tidak hanya memegunkan detik-detik. Kita percaya bahawa hidup tidak selalunya perlu tergesa-gesa.




*Esei ini pertama kali diterbitkan di Suara Nadi, 28 Januari 2022.



Comments


bottom of page